FILEM bergenre aksi ‘Sindiket’ yang ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia barubaru ini, diilhamkan dari kisah benar mengenai jenayah pemerdagangan manusia.Peka dengan jenayah global yang makin meningkat itu, sutradara Bade Haji Azmi merasakan beliau perlu mengetengahkan isu tersebut dan memberi kesedaran kepada orang ramai melalui filem yang dihasilkannya.

 “Masa saya buat kajian untuk cerita ini, saya tengok jenayah pemerdagangan orang lebih meluas dan berbahaya serta menunjukkan peningkatan yang drastik berbanding jenayah dadah.

 Jadi, sebagai seorang ayah yang juga mempunyai anak saya rasa sangat penting filem ini ditayangkan,” kata Bade pada sidang media.

 Menariknya, penggambaran filem ini banyak dilakukan di sekitar Pulau Sebatik yang dikongsi antara Malaysia dan Indonesia, Kundasang dan juga Kalimantan yang dikatakan sering menjadi kawasan ‘panas’ aktiviti pemerdagangan manusia.

 Menurut sinopsis filem terbitan Dini Dalilah melalui syarikat produksinya Loyal Studio Sdn Bhd, filem ini berkisar tentang aktiviti memperdagangkan manusia oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan.

 ANAK GADIS SASARAN UTAMA

Kisah bermula apabila dua orang anak gadis diperdaya oleh ejen pelancongan yang beroperasi secara dalam talian untuk bercuti sambil menambah pendapatan di sebuah pulau sehingga mereka dipaksa untuk melacurkan diri.

 Manakala, seorang gadis dari Indonesia juga turut terpedaya dengan cinta palsu lelaki sehingga membawa dia ke Malaysia untuk dijual kepada sindiket pemerdagangan orang.

 Jalan cerita yang tragis memaparkan bagaimana gadis-gadis tersebut diseksa dan dipaksa melacurkan diri oleh sindiket berkenaan dan kesungguhan Inspektor Rudy (lakonan Sharnaaz) berusaha membanteras jenayah tersebut habis-habisan.

 Filem ini diterajui pelakon-pelakon dari Malaysia dan juga Indonesia seperti Sharnaaz Ahmad, Daphne Iking, Sharifah Amani, Liyana Jasmay, Wangi Julianda, Danny Prima Agung dan ramai lagi.

17 April 2017
Bernama
Main Source:
https://amp.utusanborneo.com.my/2017/04/17/sindiket-kisah-benar-jenayah-pemerdagangan-manusia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *